Thursday, January 20, 2011

KISAH ISRAILIYAT : SIKAP KITA (ORANG AWAM) TERHADAPNYA DAN IMPAK NEGATIFNYA TERHADAP MASYARAKAT


 Bismillah

Alhamdulillah selawat dan salam keatas Rasul Allah.

Selain daripada ancaman hadis-hadis palsu, umat kita juga terdedah dengan kisah-kisah Israiliyat yang sering dijadikan sebagai sumber teladan. Ketidakpedulian sesetengah pihak terhadap perkara ini (Khususnya di masa kini) menyebabkan cerita-cerita ini semakin tersebar sehingga memberika kesan yang negatif terhadap Islam. Mungkin ada yang tahu tetapi disebabkan takut dirinya dilabel sebagai “pembawa ajaran baru” atau semata-mata ingin menyampaikan perkara tertentu sahaja dalam rangka dirinya “diterima” maka dia berdiam sehinggakan umat lemas dalam cerita-cerita tersebut . Pemikiran ini harus diubah kerana dakwah bukanlah supaya diri kita diterima tetapi apa yang penting ialah sampainya mesej yang ingin disampaikan.

Dalam rangka memberikan kefahaman asas tentang hal ini maka saya mengambil inisiatif untuk meringkaskan beberapa buku dan risalah para ustaz dan ulama. Semoga ringkasan ini dapat memberikan manfaat kepada kita semua.

APA ITU ISRAILIYAT ?

Menurut Syeikh Muhammad bin soleh al-uthaimin :

لإسرائيليات : الأخبار المنقولة عن بني إسرائيل من اليهود وهو الأكثر ، أو من النصارى
Maksud : al-Israiliyat ialah berita-berita yang dibawa daripada Bani Israil yang terdiri daripada Yahudi (lebih banyak) dan Nasrani. (Usul fi al-tafsir, Muhammad soleh al-uthaimin)

PEMBAHAGIAN KISAH ISRAILIYAT

Kisah Israiliyat dapat dibahagikan kepada 3 kategori iaitu

1. Berita yang disahkan oleh Islam dan disahkan benar.

Ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari bahawa daripada Ibnu Mas’ud

عن ابن مسعود رضي الله عنه قال : جاء حبر من الأحبار إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم فقال : يا محمد ، إنا نجد أن الله يجعل السماوات على إصبع ، وسائر الخلائق على إصبع فيقول : أنا الملك ، فضحك النبي صلى الله عليه وسلم حتى بدت نواجذه تصديقا لقول الحبر ، ثم قرأ رسول الله صلى الله عليه وسلم : (وَمَا قَدَرُوا اللَّهَ حَقَّ قَدْرِهِ وَالْأَرْضُ جَمِيعاً قَبْضَتُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَالسَّمَاوَاتُ مَطْوِيَّاتٌ بِيَمِينِهِ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى عَمَّا يُشْرِكُونَ) (الزمر:67)


Maksud : “Telah datang seorang pendita Yahudi kepada Rasulullah s.a.w. dan berkata:

“Wahai Muhammad, sesungguhnya kami dapati (dalam kitab kami) bahawa Allah meletakkan tujuh petala langit atas satu jari, tujuh petala bumi atas satu jari, segala pokok atas satu jari, air dan tanah atas satu jari dan seluruh makhluk atas satu jari lalu berkata, “Akulah raja.”

Mendengar itu, Nabi tergelak sehingga ternampak gusinya, membenarkan kata-kata pendita itu. Kemudian Baginda membaca (ayat 67 surah al-Zumar 39 yang bermaksud):

“Dan mereka tidak mengagungkan Allah dengan pengagungan yang semestinya padahal bumi seluruhnya dalam genggamanNya pada hari kiamat dan langit digulung dengan tangan kananNya. Maha suci Tuhan dan maha tinggi Dia dari apa yang mereka persekutukan.” (H/R Bukhari)

2. Berita yang ditolak oleh Islam dan disahkan bohong.

Contohnya seperti

Sesungguhnya bumi berada di atas sebiji batu. Batu tersebut berada di atas tanduk seekor lembu jantan. Apabila lembu jantan itu menggerakkan tanduknya, maka batu tersebut pun bergerak dan bergeraklah bumi. Itulah gempa bumi.” (Disahkan palsu oleh Ibnul Qayyim dalam al-manar al-munif)

3. Berita yang tidak diiktiraf dan tidak pula ditolak oleh Islam

Dari Abu hurairah
عن أبي هريرة رضي الله عنه قال : كان أهل الكتاب يقرؤون التوراة بالعبرانية ، ويفسرونها بالعربية لأهل الإسلام ، فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم : لا تصدقوا أهل الكتاب ولا تكذبوهم ، وقولوا: ( آمَنَّا بِالَّذِي أُنْزِلَ إِلَيْنَا وَأُنْزِلَ إِلَيْكُمْ)(العنكبوت: من الآية 46)


Maksud : “Dahulu Ahli Kitab membaca al-Taurat dalam bahasa Ibraniyah dan mentafsirkannya dalam bahasa Arab untuk orang Islam. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jangan percaya Ahli Kitab dan jangan dustakan mereka. Katakanlah “Kami telah beriman kepada kitab-kitab yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepada kamu.” (al-Ankabut 29:46). (H/R Bukhari)

Kebanyakan kisah Israiliyat tidak mempunyai manfaat kepada agama dan contoh kisah-kisah tersebut ialah warna anjing ashabul kahfi, bilangan mereka, tongkat nabi musa diperbuat daripada kayu apa ?, Nama burung yang dihidupkan Allah untuk Nabi Ibrahim, Jenis pohon yang digunakan oleh Allah untuk berkata dengan Nabi Musa dan banyak lagi masalah-masalah lain yang tidak disebutkan secara jelas dalam al-Quran kerana tidak ada faedahnya dalam urusan agama dan duniawiyah seorang mukallaf. (Muqaddimah Tafsir Quranil azim, Imam Ibnu Katsir)

HUKUM MERIWAYATKAN (MENCERITAKAN) KISAH ISRAILIYAT

Menurut para ulama menceritakan kisah Israiliyat khususnya yang jenis ketiga adalah HARUS jika tidak dikhuatiri membawa keburukan. Hujahnya ialah sabda nabi shallallahu alaihi wa sallam

بلغوا عني ولو آية ، وحدثوا عن بني إسرائيل ولا حرج ، ومن كذب على متعمدا فليتبوأ مقعده م النار

Maksud : sampaikanlah dariku walau satu ayat. Riwayatkanlah daripada Bani Israil tiada salahnya. Dan barangsiapa yang berdusta atas namaku maka siap sediakanlah tempatnya di neraka (H/R Bukhari)

SIKAP KITA ORANG AWAM DALAM MENANGANI ISU INI

Menurut Prof. Madya Dr. Mohd Najib Abdul Kadir, Ketua jabatan FPI UKM, terdapat 4 kaedah untuk mengecam riwayat Israiliyat iaitu pengamatan sanad, pengamatan matan, merujuk ulama dan melihat sumber yahudi dalam rangka membuat perbandingan warisan ulama muktabar Islam dalam soal yang berkaitan Israiliyat.  Bagi saya, tidak semua diantara kita dapat mengecam sesuatu cerita itu adalah cerita Israiliyat. Lebih-lebih lagi kebanyakan kita tidak mempunyai ilmu dalam bidang ini dan masa untuk mengkaji amatlah terbatas.

Bagi saya langkah yang terbaik dalam hal ini ialah mendiamkan diri kita terhadap cerita-cerita israiliyat yang kita tidak pasti tahap kesahihannya dan asal-usul cerita tersebut yang mana ianya kebanyakan menceritakan perincian penciptaan alam, paras rupa nabi dan orang-orang soleh, perincian-perincian kisah al-Quran seperti cerita harut dan marut, kisah Nabi yusuf dan Zulaika, kisah-kisah Nabi musa dan nabi-nabi sebelum Nabi Muhammad, cerita awal penciptaan adam. Walaupun kisah-kisah tersebut ada yang bersifat “harus” untuk diceritakan, namun langkah berhati-hati perlu diterapkan dalam usaha memurnikan kembali ajaran agama kita yang bercampur baur dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Setiap kita tidak boleh memandang ringan terhadap hal ini kerana peremehan hal ini dapat membawa kepada impak yang negatif terhadap diri kita dan masyarakat.

KESAN NEGATIF RIWAYAT ISRAILIYAT

Riwayat israiliyat mempunyai banyak kesan negatif. Antaranya ialah

1. Memberi gambaran bahawa Islam agama yang khurafat dan penuh pembohongan

Contohnya seperti

Sesungguhnya bumi berada di atas sebiji batu. Batu tersebut berada di atas tanduk seekor lembu jantan. Apabila lembu jantan itu menggerakkan tanduknya, maka batu tersebut pun bergerak dan bergeraklah bumi. Itulah gempa bumi.” (Disahkan palsu oleh Ibnul Qayyim dalam al-manar al-munif)

Riwayat ini agak bertentangan dengan HAKIKAT bumi terapung diangkasa dan gempa bumi adalah disebabkan pergerakan kerak bumi. Riwayat-riwayat seperti ini hanya membuat Islam itu rendah martabatnya disisi orang yang bukan Islam. Natijahnya keindahan agama ini semakin lama semakin terlindung dek kisah-kisah yang tidak masuk akal dan orang bukan Islam akan mempunyai tanggapan yang buruk terhadap Islam.

2. Merendah-rendahkan martabat Nabi yang diutus Allah

Kalau kita perhatikan dalam al-Quran cerita-cerita nabi kebanyakannya diterangkan/diceritakan secara umum sahaja. Contohnya kisah Nabi Ayub yang ditimpa sakit. Memang Nabi ayub diceritakan dalam al-Quran bahawa dia diuji oleh Allah dengan penyakit (Lihat surah sod ayat 41) tetapi perincian Baginda alaihi salam sakit apa tidak pula diceritakan dengan lanjut. Sesetengah buku “murahan” memperincikan lagi bahawa Nabi ayub ditimpa sakit sehingga badan beliau berulat. Tfsiran yang melampau-lampau pula mengatakan bahawa daging beliau berguguran sehingga tingall tulang sahaja. Menurut para ulama kisah ini adalah kisah Israiliyyat yang cuba merendah-rendahkan martabat para Nabi yang diutus oleh Allah.

Antara kisah yang lain ialah kisah Nabi Sulaiman yang tertinggal solat asar kerana mengira kuda untuk berjihad, cerita nabi sulaiman membina istana kaca untuk melihat betis balqis dan banyak lagi cerita yang berbentuk perincian apa yang umum di dalam al-Quran.

3. memalingkan umat Islam terhadap tujuan asal al-Quran itu diturunkan dan melalaikan mereka daripada meneliti maksud sebenar ayat al-Quran

Contohnya masyarakat kita hari ini sibuk memikirkan rupa bentuk luqman yang diceritakan dalam al-Quran sebagai orang yang mempunyai hikmah. Konon-kononnya dia ini seorang hamba habsyi, kulit hitam, bibir lebar, hidung pendek dan macam-macam lagi. Selain itu ada juga yang sibuk dengan memikirkan di mana lokasi sebenar bahtera Nabi nuh terdampar, kayu yang dijadikan tongkat nabi musa dan banyak lagi. Al-Quran diturunkan SEBAGAI PANDUAN DAN UNTUK MEMBERIKAN PENGAJARAN. Adapun kisah-kisah perincian yang tidak ada kaitan dengan pengajaran maka ianya tidak ada motif lain melainkan untuk memalingkan kita daripada tujuan asal al-Quran diturunkan. Namun yang demikian, walaupun kisah-kisah ini tidak memberi manfaat dan berlawanan dengan fakta al-Quran dan as-sunnah yang sahih serta logic akal, ada juga kita yang masih lemas dalam membongkar “misteri-misteri” tersebut.

4. Merosakkan akidah umat Islam

Kisah-kisah israiliyat juga dapat merosakkan akidah umat ini dengan mengikis ketulenan agama Islam yang sebenar sehingga membuat seseorang itu ragu terhadap Islam. Selain daripada it, pencemaran kisah-kisah al-Quran juga dapat membuat seseorang itu mempunyai iqtiqad yang berlawan dengan al-Quran dan as-sunnah yang sahih. Contohnya seperti kepercayaan harut dan marut adalah malaikat yang diazab Allah. Menurut Dr Muhammad bin Abu syahbah

أن من اعتقد في هاروت وماروت أنهما ملكان يعذبان على خطيئتهما : فهو كافر بالله.


Maksud : "Sesiapa yang beri'tiqad dalam kisah Harut dan Marut bahawasanya mereka berdua adalah malaikat yang diazab atas kesalahan mereka, maka orang itu kafir terhadap ALLAH yang maha agung.". (al-Israiliyyat al-maudhuat fi kutub al-tafsir, Muhammad abu syahbah)

Dan ini juga adalah pendapat ulama seperti Ibnu Katsir. Untuk melihat kisah sebenar ayat 102 surah al-baqarah ini perlu bagi kita merujuk sumber yang asal supaya kita tidak tersilap faham dan merujuk ulama-ulama tafsir untuk memastikan keabsahan suatu kisah yang disandarkan dengan kisah-kisah al-Quran.

KESIMPULAN

Dunia masa kini telah melabelkan Islam sebagai agama yang jumud, ganas, ketinggalan zaman dan banyak lagi label-label yang yang negatif walhal Islam yang sebenar bukanlah sepertimana yang dikatakan orang-orang yang jahil mengenainya. Oleh itu, janganlah kita menambahkan derita agama ini dengan menambahkan sesuatu yang tidak ada padanya. Dalam penulisan ini, apa yang saya cuba maksudkan ialah supaya kita TIDAK MENAMBAH-NAMBAH CERITA-CERITA ISRAILIYAT SEBAGAI PENAMBAH PERISA KISAH-KISAH YANG BERASAL DARIPADA AL-QURAN.

Al-quran adalah kitab yang Allah turunkan kepada kita untuk dijadikan panduan dan pengajaran. Amat menyedihkan bila sesetengah pihak (mungkin penulis atau penceramah) mencemarkannya dengan nilai-nilai buruk, majalah lucu dan watak-watak yang dongeng semata-mata. Penambahan-penambahan seperti ini hanya akan menghilangkan maksud sebenar al-quran sebagai sebuah panduan dan watak-watak agung yang sepatutnya menjadi teladan bertukar menjadi sebuah cerita yang karut marut dan seolah-olah direka.

Dr Yusuf al-Qardhawi: “Sesungguhnya antara yang mencemarkan warisan ilmu kita, terutamanya di medan tafsir ialah meresapnya unsure-unsur Israiliyyat kepadanya dan sukar pula untuk dibersihkan”, katanya juga, “Seakan-akan Yahudi ketika tentera mereka tewas di hadapan dakwah Islam di Madinah, Khaibar dan selainnya, maka mereka ingin menghadapi Islam dengan senjata lain sebagai ganti kepada kekalahan mereka – iaitu senjata peperangan pemikiran (al-ghazwuul fikr –penjajahan pemikiran). Lalu mereka memasukkan riwayat Israiliyyat yang pelik-pelik. Dalam kecuaian, maka tidak sampai sekejap, lalu Israiliyyat telah mencekik kitab-kitab kaum muslimin (dipetik dari Thaqafah a-Daiyyag masa 41 Dr Yusuf Al-Qardhawi)(Copy paste dari : http://books.google.com.my/books?hl=en&lr&id=GFpncKwNorMC&oi=fnd&pg=PR3&dq=kesan+BURUK+Israiliyyat&ots=uUVvzxoceB&sig=IGBwxNrSfoSX4-9x0ZLrH7Cm4p8#v=onepage&q&f=false lihat bab israiliyat atau boleh juga dilihat disini http://nurjeehan.wordpress.com/2007/05/20/israiliyyat-penceramah-mencemarkan-al-quran/)

Bagi saya sikap “Biarkanlah asalkan baik” adalah sikap yang patut dikikis oleh umat Islam ketika kita ingin memasukkan sesuatu cerita berkaitan agama semasa berdakwah. Dalam hal duniawi kita sering menginginkan yang terbaik. Contohnya ramai sahaja sahabat-sahabat saya bila pergi membeli cd cerita mereka akan berkata “Ini original ke tak ?”. kenapa kita tidak mengaplikasikan perkara yang sama dalam perihal agama ?

Akhir kata saya fikir-fikirkanlah

Wallahu a’lam

5 Komen:

Ismail Fitry said...

Salam,

Terima kasih, satu info yang sangat berguna dan bermanfaat.

rudz said...

Alhamdullilah..

sangat bermenfaat boleh saya share link dalam f/b??

Ucuita said...

Mohon kebenaran utk share.

Ucuita said...

Mohon kebenaran utk share.

Ucuita said...

Mohon kebenaran utk share.

JOM RENEW KEAHLIAN BADAR ANDA!